Sunday, January 16, 2011

Tetamu Allah

Tetamu Allah. Begitulah sapaan dikhususkan kepada bakal-bakal haji dan hajjah setiap tahun. Mereka berusaha mengumpulkan ilmu, bekalan dan kekuatan bagi mengerjakan ibadah haji di kota suci Mekah al-Mukaramah.

Mereka pasrah, berkorban jiwa dan raga serta memanjatkan doa bagi mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah swt sepanjang melaksanakan ibadah tersebut. Baitullah atau Kaabah yang menjadi kiblat sewaktu solat dan ketika munajat memohon doa sentiasa menjadi impian setiap orang Islam untuk ke sana mengerjakan puncak ibadah.

Haji dikatakan ibadah khusus, merupakan rukun islam kelima, satu kefardhuan yang wajib dilakukan oleh muslimin dan muslimat yang ada kemampuan baik dari segi bekalan, perjalanan dan ilmu pengetahuan mengenai ibadah tersebut.

Mengikut pengertian syarak, haji ialah mengunjungi Baitullahil Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai'e dan wukuf di Arafah dengan syarat yang tertentu dan menunaikan segala perkara -perkara yang wajib yang berkaitan dengannya.

Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu siapa yang mampu sampai kepadanya. (Surah Ali Imran,97)

Haji juga adalah salah satu syiar agama yang besar sejak zaman berzaman dimana  Allah swt mengarahkan Naib Ibrahim dan Nabi Ismail, membangunkan Kaabah dan menyeru manusia datang ke Mekah mengerjakan haji.

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman dan jadikanlah oleh kamu makam Ibrahim itu tempat sembahyang dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjidilharam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk dan sujud.  (Surah Al-Baqarah, 125)

Seruan haji berjaya mengumpulkan jutaan muslimin dan muslimat seluruh dunia mengunjungi tanah suci Mekah mengerjakan kemuncak ibadah tersebut.

Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji,nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.  (Surah Haji, 27)

Kemulian Baitullah di kota suci Mekah juga dinyatakan dalam kita suci AlQuran.
 
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (Surah Ali-Imran, 97).
 
Ibadah haji hanya dilakukan pada bulan-bulan tertentu sahaja berbanding ibadah umrah dan ibadah lain yang dapat dilakukan sepanjang tahun dan ketika.
 
(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).  (Surah Al-Baqarah, 197)
 
Begitu banyak manfaat dunia dan akhirat yang bakal kita peroleh hasil mengerjakan ibadat haji.  Dari sudut manfaat agama, kita telah laksanakan rukun Islam kelima. Tidak sempurna keimanan, jika kita tangguh-tangguhkan mengerjakan ibadah tersebut apabila kita sudah ada kemampuan dan kelapangan masa.

Haji dikatakan sebagai suatu pengembaraan atau perjalanan ke akhirat dengan iktibar memakai ihram dan menjaga pantang-larangnya. Falsafah haji juga mempunyai matlamat yang besar. Haji yang mambur tercapai hanya apabila dilakukan sempurna syarat dan rukunnya dan diterima Allah swt.

Ibadah haji bukan berkisar soal kekuatan, bukan soal kehebatan sahaja, tetapi soal kepatuhan. Amat sukar hendak patuh arahan dan tunduk kepada segala suruhan dan larangan Allah. Maka ibadah haji adalah salah satu perjalanan menunjukkan kepatuhan kepada Allah swt. Haji adalah ibadah yang besar dan dikerjakan semata-mata menunjukkan kepatuhan kita  kepada Allah swt.

Kita patuh segala perintah Allah sewaktu mengerjakan ibadah haji yang termasuk melakukan. tawaf dengan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, saie iaitu berjalan tujuh kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dan sebaliknya, wuquf di Arafah, bermabit atau bermalam di Mudzalifah, bermabit di Mina untuk melontar ketiga-tiga Jamrah, berguntng / bercukur dan sebagainya.

Alhamdulillah, kami telah terpilih menjadi tetamu Allah diantara lebih 4 juta orang Islam mengerjakan fardhu haji pada musim 1431H/2010M yang lalu. Ucapan syukur pastinya melekat dibibir dan sanubari haji dan hajjah serta keluarga mereka. Kini bulan-bulan haji 1431H telah berlalu pergi, namun kenangan manis saat mengerjakan ibadah haji masih terbuai dalam ingatan para haji dan hajjah.
 
Dikeluaran akan datang izinkan kami berkongsi detik-detik kemanisan beribadah di dua dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah bagi manfaat pembaca dan bakal tetamu Allah swt di masa depan. Sebahagian dari pengalaman tersebut kami paparkan di http://haji1431h.blogspot.com

 

FaceBook