Saturday, January 8, 2011

Tetamu Allah di Mekah





Tetamu Allah. Begitulah sapaan dikhususkan kepada bakal-bakal haji dan hajjah setiap tahun. Mereka berusaha mengumpulkan ilmu, bekalan dan kekuatan bagi mengerjakan rukun Islam yang kelima iaitu mengerjakan ibadah haji di kota suci Mekah al-Mukaramah. Mereka berkorban jiwa raga dan memanjatkan doa bagi mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah swt. Baitullah yang menjadi kiblat sewaktu solat dan ketika munajat memohon doa sentiasa menjadi impian setiap orang Islam untuk ke sana mengerjakan puncak ibadah.

Alhamdulillah, kami telah terpilih menjadi tetamu Allah diantara lebih 4 juta orang Islam mengerjakan fardhu haji pada musim 1431H/2010M yang lalu. Ucapan syukur pastinya melekat dibibir dan sanubari haji dan hajjah serta keluarga mereka. Kini bulan-bulan haji 1431H telah berlalu pergi, namun kenangan manis saat mengerjakan ibadah haji masih terbuai dalam ingatan para haji dan hajjah. Izinkan kami berkongsi detik-detik kemanisan beribadah di dua dua kota susi iaitu Mekah dan Madinah bagi manfaat pembaca dan bakal tetamu Allah di masa depan.

Perjalanan ke tanah suci Mekah seperti yang dirancangkan begitu licin sekali apabila perjalanan kami dari di Kompleks Kelana Jaya ke Kompleks KLIA di Sepang dilayan bagai VVIP dengan koc berhawa dingin dan begitu selesa serta diiring oleh polis trafik sepanjang perjalanan ke sana. Urusan imigrasi begitu cekap dan berbekalkan doa dan harapan dari keluarga, sanak saudara serta sahabat dan taulan, kami yang sudah berpakaian ihram, menaiki pesawat ke King Abdul Aziz International Airport (KAAIA) Jeddah.

Perjalanan yang meragut masa 8 jam terasa begitu pantas, ibarat sang kekasih ingin menemui buah hatinya. Sewaktu dalm pejalanan dan satu jam sebelum pesawat mendarat, kami memsanag niat haji di miqat yang telah ditentukan. Di KAAIA sesudah urusan imigrasi di bumi anbia, kami dibawa ke tanah suci Mekah dengan koc. Koc kami tiba di kota suci Mekah sebaik azan Asar berkumandang. Begitu sayu dan syahdunya. Namun begitu kami terperangkap dalam jutaan bakal-bakal haji dan hajah yang berjalan kami menuju ke masjidil Haram (MH). Kesemua jalan menuju ke MH ditutup. Kami bersyukur, mungkin bukan rezeki kami dapat bersolat asar dan zuhur berjemaah di masjidil Haram, sewaktu kami tiba disana.

Sebaik kunci bilik diserahkan, bersolat jamak dan qasar di bilik hotel, kami ke Masjidil Haram untuk bersolat maghrib sekitar jam 5.45 petang. Alhamdulillah lokasi hotel penginapan kami begitu hampir dengan pintu utama masjidil haram iaitu Kong Abdul Aziz gate, tidak sampai 100 meter. Subhanallah setiap ruang di dataran MH telah dipenuhi oleh jemaah dan pintu-pintu masuk ke MH telah dijaga oleh pegawai keselamatan yang tidak membenarkan jemaah haji memasuki ke ruang solat MH! Rmai juga jemaah haji termasuk kami merayu agar dibenarkan memasuki ruang tersebut, namun hampa.

Alhamdulillah sebaik azan maghrib berkumandang, kami bernasib baik memasuki pintu King Abdul Aziz, dan syukur kami dapat bersolat di dalam masjid dalam ruang yang penuh sesak, sehinggakan terdapat juga rakan jemaah yang bercerita bahawa mereka bersolat di atas tangga masjid!









FaceBook